Sunday, 6 January 2019

Kerja Kursus Sejarah STPM 2018 : Sejarah Sains dan Teknologi

Pengenalan  
Kedah Darul Aman merupakan sebuah negeri yang dikenali sebagai Negeri Jelapang Padi kerana negeri ini kaya dengan tanaman padi. Penanaman padi dijadikan aktiviti utama bagi sebahagian penduduk yang tinggal di Kedah. Kampung Chegar Mukim Jeram, Tunjang, 06000 Jitra, Kedah merupakan  sebuah  kampung yang terletak di Bandar Jitra Kedah. Penggunaan teknologi di kampung ini adalah sangat meluas khususnya dalam sektor penanaman padi.
 Bagi mendalami sejarah perkembangan teknologi dalam penanaman padi di kampung ini, maka tumpuan perbincangan esei menjurus kepada konsep ‘teknologi’ dan penggunaan sains dan teknologi dalam penanaman padi di Kampung Chegar Mukim Jeram, Tunjang  06000 Jitra, Kedah dari tahun 2000 hingga 2015 serta kesan penggunaan teknologi kepada penduduk di Kampung Chegar Mukim Jeram, Tunjang, 06000 Jitra, Kedah. Esei ini juga menerangkan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pengusaha tanaman padi dan peranan MADA dalam penanaman padi.
Sebelum menjelaskan konsep  ‘teknologi’ dan penggunaan teknologi dalam penanaman padi serta kesan penggunaan teknologi kepada penduduk di kampung ini, akan disentuh terlebih dahulu tentang latar belakang dan keistimewaan Kampung Chegar Mukim Jeram, Tunjang, 06000 Jitra, Kedah. Supaya perbincangan esei ini lebih terarah kepada permasalahan pokok, maka perbincangan tentang penggunaan teknologi ini hanya ditumpukan dalam sektor penanaman padi di kampung ini. Bagi menjelaskan perbincangan tersebut, kajian ini meneliti pelbagai sumber primer dan sekunder bagi memperoleh maklumat yang berkaitan.
2.0      Latar Belakang Kampung Chegar Mukim Jeram, Tunjang, 06000
           Jitra, Kedah

Kampung Chegar merupakan sebuah kampung yang terletak di pekan Jitra Kedah Darul Aman. Pemandangan di kampung ini adalah sangat unik kerana kampung ini dikelilingi dan dihiasi dengan kehijauan sawah padi. Kehijauan sawah padi yang terbentang luas ini adalah hasil daripada titik peluh pengusaha tanaman padi yang tinggal di kampung ini. Kualiti udara di kampung ini juga sangat bersih dan menjadikan udara di sini sangat segar dan nyaman terutamanya ketika waktu pagi.
Suasana di kampung ini juga sangat menenangkan disebabkan bilangan kenderaan yang digunakan di kampung ini adalah sangat sedikit berbanding di kawasan bandar. Hal ini demikian kerana kampung ini terletak agak jauh dari jalan raya yang dipenuhi dengan gas yang datang dari asap kenderaan di jalan raya yang sesak, oleh itu pembebasan asap daripada bahan bakar untuk menggerakkan kenderaan berkurang. Hal demikian menjadikan udara di kampung ini tidak tercemar dengan partikel dan kotoran yang terkandung di dalam asap yang dibebaskan oleh kenderaan.
Majoriti penduduk di kampung ini menjalankan aktiviti pertanian sebagai kegiatan utama mereka. Menurut Encik Arshad b. Mat Rejab, iaitu orang sumber saya,
“kegiatan penanaman padi merupakan sumber yang menjana pendapatan bagi pengusaha tanaman padi yang tinggal di kampung ini. Hasil tanaman padi akan dihantar kepada peraih untuk diproses menjadi beras dan dipasarkan ke pasaran tempatan. Kebiasaannya harga padi yang dijual kepada peraih adalah sebanyak RM 120 bagi 100 kilogram (kg) padi. Oleh itu, pengusaha tanaman padi akan memperoleh pendapatan melalui penjualan padi. Pengusaha tanaman padi yang tinggal di Kampung  Chegar akan menjual padi mereka kepada kilang yang berdekatan dengan kampung tersebut seperti kilang Tong Seng Sendirian Berhad yang terletak di 207, Jalan Bukit, Pekan Tunjang, 06000 Jitra Kedah”1

Penggunaan teknologi di kampung ini juga sangat meluas jika dibandingkan dengan zaman sebelum terciptanya teknologi. Pengusaha tanaman padi menggunakan peralatan tradisonal seperti alat kuku kambing, tenggala dan penyisir. Kerbau merupakan salah satu haiwan yang digunakan oleh petani dalam tanaman padi. Kerbau digunakan untuk proses membajak sawah dengan bertindak sebagai penarik tenggala.2
3.0      Pengertian Konsep Teknologi
            Teknologi merujuk kepada pengetahuan yang ditujukan untuk mencipta alat, tindakan pengolahan dan pengekstrakan benda. Teknologi digunakan untuk menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan seharian dan digunakan untuk memperluas kemampuan kita. Teknologi juga merupakan aplikasi dari sains untuk mengatasi masalah yang tidak dapat diselesaikan menggunakan tenaga manusia. Penggunaan teknologi banyak diterapkan dalam pelbagai sektor terutamanya dalam sektor pertanian untuk membantu pengusaha yang terlibat dalam bidang pertanian dalam menghasilkan tanaman dengan lebih cepat dan berkualiti. Teknologi terus dimajukan kerana keperluan dan tuntutan oleh pengguna untuk menggunakan  teknologi terus meningkat.3
4.0       Penggunaan Teknologi dalam Penanaman Padi di Kampung
            Chegar, Kedah

Teknologi merupakan salah satu bidang yang banyak membantu memajukan Negara terutamanya dalam sektor pertanian penanaman padi. Kampung Chegar merupakan salah satu kampung yang terdapat di Kedah yang banyak mengaplikasikan penggunaan teknologi dalam penanaman padi. Terdapat pelbagai jenis teknologi yang digunakan oleh pengusaha tanaman padi di kampung ini. Antaranya ialah penggunaan jentera penuai, jentera pembajak dan jentera penabur benih.
4.1       Penggunaan Jentera
           Terdapat pelbagai jenis teknologi yang digunakan dalam sektor penanaman padi, antaranya ialah jentera penuai, jentera pembajak, jentera meracun dan jentera menabur benih. Jentera-jentera ini digunakan sepenuhnya dalam proses penghasilan padi yang berkualiti. Padi dituai menggunakan jentera jenis sederhana iaitu 30 kuasa kuda atau jenis besar iaitu 100 kuasa kuda. Sebelum proses menuai dilakukan, sawah padi akan dikeringkan terlebih dahulu dengan mengalirkan air takungan ke terusan. Hal Ini akan memudahkan lagi  proses penuaian yang akan dijalankan.4  Selain itu, jentera pembajak merupakan teknologi yang menggantikan penggunaan kerbau dalam proses pembajakan.
 Perubahan ini menunjukkan pengusaha tanaman padi pada hari ini sudah tidak menggunakan khidmat kerbau sebagai alat bantuan dan alatan-alatan tradisonal yang lain dalam aktiviti membajak sawah pertanian.5  Di samping itu, jentera penabur benih turut digunakan dalam penanaman padi. jentera ini digunakan untuk menabur benih padi dengan teratur dan tidak berkelompok sekaligus menjimatkan masa dan tenaga buruh. Biji benih padi hanya perlu diletakkan di dalam tangki benih di bahagian belakang jentera dan akan dikendalikan oleh penyelaras biji benih di tangki tersebut untuk mengelakkannya daripada tersumbat.6
4.2       Penggunaan Baja untuk Tanaman Padi
            Penggunaan baja adalah penting bagi memastikan tanaman padi tidak menghadapi sebarang masalah yang boleh menjejaskan kualiti padi. Tanaman padi memerlukan 17 unsur nutrien untuk tumbesaran dan pengeluaran hasil yang baik. Sebanyak tiga unsur nutrien yang terdiri daripada unsur bukan mineral iaitu, karbon, hidrogen dan oksigen, 14 unsur lagi ialah unsur mineral. Nitrogen, fosforus, dan kalium ialah unsur primer yang diperlukan dalam kuantiti yang banyak untuk tanaman padi, manakala magnesium, kalsium, dan sulphur merupakan unsur sekunder dan selebihnya adalah unsur mikro. Kekurangan salah satu daripada unsur primer akan mengganggu proses tumbesaran tanaman. Sekiranya jumlah yang wujud itu kurang daripada keperluan optimum, maka, tumbesaran akan tetap berlaku, tetapi kecacatan atau gejala kekurangan nutrien akan berlaku.7 Baja boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu baja kimia dan baja organik. Baja kimia kadangkala dikenali sebagai baja tak organik atau baja buatan, mengandungi bahan-bahan kimia tak organik atau galian-galian. Baja ini tidak memerlukan  masa yang tertentu untuk terurai  kerana baja ini mengandungi nutrien yang boleh diserap oleh tumbuh-tumbuhan.
 Baja organik tidak seperti baja kimia di mana kesannya cepat bertindak terhadap akar. Baja organik yang ditabur di batas atau di sekeliling pokok sesuatu tanaman memerlukan beberapa jenis mikroorganisma untuk mengurainya terlebih dahulu sebelum diserap oleh akar tanaman. Keadaan tanah seharusnya lembab bagi membolehkan mikroorganisma tersebut melakukan aktiviti penguraian. Zat nutrisi dibebaskan ketika proses penguraian. Secara umumnya, sesetengah baja organik diguna pada awal tahun setelah ditabur pada batas dan secara perlahan-lahan ia membebaskan nutrisi setelah diurai oleh mikroorganisma yang boleh digunakan pada tahun-tahun akan datang.
Pemecahan atau penguraian baja organik tidak berlaku serentak di mana secara am pula memberikan tugas membaik pulih kepada tanah atau batas.8 Baja organik dihasilkan daripada bahan material yang datang daripada haiwan, tumbuhan dan mineral semula jadi. Baja organik secara semula jadi mampu membekalkan nutrien pada kadar rendah, berterusan dan seimbang.
Baja tahi ayam merupakan salah satu baja organik yang berkesan dan menjimatkan berbanding baja tahi cacing. Pembajaan padi banyak bergantung kepada beberapa perkara seperti varieti padi, cara menanam padi dan musim penanaman padi sama ada musim hujan, atau bukan musim hujan. Kebiasaannya, baja ditabur terus ke dalam sawah dengan jarak antara taburan sekitar tiga meter radius. Pembajaan juga lazimnya dilakukan tiga kali untuk sistem tabur terus.
4.3       Penggunaan Racun untuk Tanaman Padi
            Penggunaan racun serangga perosak dalam kegiatan penanaman padi memang tidak dapat dielakkan lagi oleh para petani. Pengusaha tanaman padi mengatasi masalah serangga perosak yang menjadi punca kerosakkan  hasil tanaman padi mereka dengan menggunakan racun serangga. Terdapat pelbagai jenis racun serangga yang digunakan oleh pengusaha tanaman padi mengikut kesesuaian masalah serangan serangga perosak yang dihadapi oleh mereka.
           Antara produk racun yang sering digunakan dalam aktiviti penanaman padi ialah AKESS 50WG yang mengawal masalah bena perang, AKARA 75WP untuk mengatasi masalah reput tangkai dan AMOLIN 29.2EC untuk mengawal masalah hawar seludang. Masalah-masalah serangan serangga perosak seperti bena perang, ulat lipat daun dan ulat ratus sememangnya  menjejaskan kualiti hasil padi sekiranya tidak di atasi dengan cepat dan cara yang betul. Bagi mengawal serangan ini, semburan racun haruslah dilakukan apabila serangan mencapai tahap ambang tindakan.9

5.0         Kesan Penggunaan Teknologi Kepada Penduduk di Kampung
              Chegar Mukim Jeram, Tunjang, 06000 Jitra, Kedah

  Pada era globalisasi kini, terdapat pelbagai jenis ciptaan teknologi telah diselidik, direka dan digunapakai dalam pelbagai sektor pekerjaan terutamanya dalam sektor penanaman padi. Penciptaan ini sememangnya memberikan pelbagai kesan yang baik kepada kemajuan Negara khususnya dalam bidang pertanian. Penggunaan teknologi yang semakin meluas sedikit sebanyak memudah dan mempercepatkan urusan penanaman padi kepada pengusaha tanaman padi. Padi yang dihasilkan oleh petani akan lebih berkuantiti dan berkualiti  tinggi dengan adanya kemudahan teknologi tersebut.
5.1       Kesan Penggunaan Jentera
            Penggunaan jentera dalam aktiviti penanaman padi sememangnya mendatangkan pelbagai kesan positif kepada bidang pertanian padi khususnya kepada pengusaha tanaman padi dan hasil tanaman mereka. Penggunaan teknologi jentera dalam penanaman padi seperti jentera pembajak, jentera penuai, jentera meracun dan jentera penabur benih adalah sangat meluas dalam perusahaan padi di seluruh Negeri Kedah khususnya di Kampung Chegar Mukim Jeram, 06000 Jitra. Kedah. Terdapat beberapa kesan positif kepada pengusaha tanaman padi dan hasil tanaman padi dengan adanya kemudahan teknologi jentera ini. Antaranya ialah, kemudahan teknologi jentera banyak membantu pengusaha tanaman padi untuk tingkatkan pengeluaran tanaman padi mereka dalam masa yang sangat singkat. Tanaman padi juga dapat ditanam sebanyak dua atau tiga kali dalam masa setahun sahaja. Oleh itu, pendapatan bulanan mereka turut meningkat dengan adanya kemudahan jentera.
            Penggunaan jentera dalam proses pembenihan padi memudahkan pengusaha tanaman padi yang terlibat dalam kegiatan penanaman padi di samping meningkatkan produktiviti hasil tanaman padi. Selain itu, penggunaan mesin benih atau dikenali sebagai ‘pointed seeder’ mampu menjimatkan penggunaan benih kerana benih digunakan secara optimum melalui mesin benih.10 Oleh itu, dengan adanya jentera-jentera seperti ini, pengusaha tanaman padi dapat menjimatkan tenaga kerja dan masa mereka kerana dengan keluasan 48 hektar tanah, pembenihan padi dapat dilaksanakan dalam tempoh dua minggu dengan mnggunakan jentera tersebut.
5.2       Kesan Penggunaan Baja
            Penemuan ciptaan baja organik pada suatu ketika dahulu sangat membantu para pengusaha tanaman padi serta Negara yang ingin memajukan industri pertanian. Penggunaan baja organick seperti Baja Reynox dapat mempercepatkan proses semaian padi. Hal ini kerana Baja Reynox dapat merangsang percambahan benih padi dalam pelbagai jenis keadaan iaitu, keadaan bendang yang kering, lembap atau basah. Baja Reynox juga membekalkan oksigen yang terlarut untuk percambahan benih dalam air yang bertakung. Baja reynox juga membantu menguat dan menyihatkan sistem akar sekaligus mengurangkan masalah padi rebah.
 Oleh itu, pengusaha tanaman padi dapat mengatasi masalah padi rebah dengan menggunakan Baja Reynox ini. Baja ini juga dapat mengekalkan takungan air di dalam bendang tanpa perlu disalir keluar oleh pengusaha tanaman padi. Penggunaan baja organik ini merupakan satu pilihan yang tepat kepada pengusaha tanaman padi kerana penggunaan baja tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil padi, malahan baja tersebut juga mampu menjimatkan wang pengusaha tanaman padi kerana kuantiti baja yang diperlukan adalah sangat sedikit dan sangat berkesan untuk hasil tanaman padi.11
5.3       Kesan Penggunaan Racun Serangga
            Penggunaan racun serangga dalam kegiatan penanaman padi adalah penting untuk meningkatkan kualiti hasil tanaman padi yang dihasilkan. Racun perosak merupakan sejenis bahan kimia yang digunakan sebagai agen untuk membunuh dan mengawal serangga perosak yang berbahaya kepada tanaman padi. Penggunaan racun serangga dan penyakit oleh pengusaha tanaman padi dapat membantu mereka mengatasi dan mengawal masalah yang berkaitan dengan tanaman padi agar tanaman yang dihasilkan dijamin berkualiti, selamat dimakan dan bersih.12  Penggunaan racun serangga dan perosak menjadi pilihan utama kepada pengusaha tanaman padi dalam mengawal serangga perosak kerana ianya cepat bertindak untuk membunuh, menghalau, menghentikan proses pembiakan serta mengganggu kehidupan serangga perosak. Masalah tersebut dapat diatasi melalui tindakan bahan kimia dan agen biologi seperti virus dan bakteria. Oleh itu, pengggunaan racun serangga perosak merupakan satu langkah yang bijak kerana mendatangkan hasil tanaman yang lebih berkuantiti dan berkualiti tinggi serta dapat meningkatkan pendapatan pengusaha tanaman padi.
5.4       Kaedah Bioteknologi
Kaedah bioteknologi pada masa ini juga digunakan dalam sektor pertanian seperti tanaman padi. Kaedah ini turut mendatangkan kesan yang baik kepada pengusaha tanaman padi dan hasil tanaman padi. Sebagai contoh, baka padi yang dikacukkan melalui kaedah bioteknologi iaitu dengan mengubah suai genetik tumbuhan yang membolehkan padi ditanam sebanyak dua hingga tiga kali dalam setahun. Baka padi yang telah dikacukkan ini akan menghasilkan hasil tuaian yang lebih banyak daripada yang biasa dan hasilnya sangat berkualiti tinggi.
 Padi itu juga lebih tahan daripada serangan penyakit seperti, hawar seludang,  bintik perang, reput daun dan bintik daun. Selain itu, hasil kacukkan baka juga menjadikan butiran padi lebih panjang dan besar serta hanya mengambil masa yang singkat untuk matang.13 Hal ini sememangnya sangat memberi keuntungan kepada pengusaha tanaman padi kerana mereka tidak perlu menunggu dalam tempoh yang lama untuk menunggu hasil tanaman mereka matang.  
            Padi hibrid merupakan benih padi yang yang dihasilkan melalui kaedah bioteknologi percantuman dan kacukan daripada beberapa jenis benih terbaik berlainan bagi menghasilkan produk yang berkualiti. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan usaha RB Biotech Sdn Bhd  telah Berjaya menghasilkan padi hibrid siraj yang mampu menangani segala masalah yang berkaitan dengan tanaman padi seperti, serangan makhluk perosak dan penyakit serta kurang produktif dalam menjana hasil dan hasil-hasil yang kurang berkualiti. Menurut Pengarah MARDI Selangor, Dr Zainal Abidin Hassan berkata,
“Padi hibrid menggunakan kaedah penanaman yang agak unik untu mendapatkan benih, iaitu bermula       dengan menanam barisan benih mandul jantan (CMS Line) sebanyak lapan baris. Kemudian kita perlu menanam dua baris benih tidak mandul jantan, ia akan diikat dengan tali dan digoyangkan lalu terkena pada benih mandul jantan, seterusnya padi hibrid dihasilkan dan dikenali sebagai generasi pertama (F1)”14

Penggunaan kaedah hibrid sememangnya mampu meningkatkan hasil padi sehingga 20 peratus berbanding padi biasa, atau dikenali dengan istilah inbrid. Padi hibrid hanya memerlukan 30 hingga 45 kilogram biji benih sehektar sawah padi manakala padi biasa memerlukan 120 kilogram hingga 150 kilogram biji benih sehektar. Padi hibrid bukan sahaja dapat menjimatkan penggunaan biji benih, hasil padi hibrid juga meningkat iaitu sehingga tujuh tan bagi sehektar. Padi hibrid sememangnya mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan hasil padi melebihi 10 tan sehektar, manakala padi inbrid hanya mampu menghasilkan 11 tan sehektar. Selain itu, padi hibrid juga mampu menjimatkan penggunaan baja kerana padi hibrid tidak memerlukan pembajaan tambahan berbanding padi inbrid yang memerlukan pembajaan seperti baja buah tambahan dan baja urea tambahan. Menurut Dr Zainal Abidin Hassan, berkata,
“tiada perbezaan ketara antara padi hibrid dan inbrid. Cuma padi kacukan ini mempunyai ketinggian melebihi padi tradisional ini.bilangan bilah juga agak banyak kerana ia disemai menggunakan jentera, ekoran penggunaan biji benih yang sedikit. Tempoh matang padi hibrid adalah kurang daripada 90 hari dan ia akan mengeluarkan hasil dalam tempoh sama. Tetapi pada kebiasaannya benih padi inbrid akan ditabur dua minggu lebih awal daripada padi hibrid.” 15  

6.0        Cabaran Dalam Penanaman Padi di Kampung Chegar Mukim
             Jeram, Tunjang, 06000 Jitra, Kedah 
             Pada masa ini, isu dan permasalahan dalam sektor penanaman padi tidak dapat dielakkan. Walaupun dunia dilengkapi dengan kemudahan sains dan teknologi, namun masalah-masalah yang berkaitan dengan tanaman padi terpaksa dihadapi oleh pengusaha tanaman padi. Terdapat pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi oleh petani dalam sektor penanaman padi.
6.1       Masalah banjir.
            Banjir merupakan satu musibah yang paling ditakuti oleh pengusaha tanaman padi. Banjir berlaku disebabkan hujan yang lebat tanpa henti pada sesuatu ketika terutamanya ketika musim timur laut. Masalah ini menjadi isu utama disebabkan banjir yang berlaku akan memusnahkan tanaman yang diusahakan mereka dengan sekelip masa sahaja. Hal ini demikian kerana, air banjir yang bertakung di kawasan tanaman padi menyebabkan tanaman ditenggelami air sehingga tanaman tersebut musnah. Kemusnahan tanaman padi turut memberi kesan kepada sumber pendapatan mereka selama beberapa bulan sehinggalah mendapat bantuan kewangan daripada pihak kerajaan. Oleh itu, banjir yang berlaku di kawasan pertanian sememangnya mendatangkan kerugian yang sangat besar kepada komuniti pertanian dan penternak setempat.16 Menurut Encik Arshad b. Mohd Rejab,
“pada tahun 2010, Kampung Chegar telah mengalami masalah banjir besar pada bulan disember tahun tersebut. Keadaan ini terjadi disebabkan keadaan hujan yang agak lebat sehingga menyebabkan tanaman padi yang diusahakan oleh mereka selama sebulan lebih musnah dan mendatangkan kerugian yang agak besar buat para petani di kampung ini.“17

  6.2      Padi Diserang Penyakit
            Pengusaha tanaman padi turut berhadapan dengan masalah padi rosak kerana diserang penyakit seperti karah daun dan reput tangkai. Penyakit karah daun ini menjadikan pengusaha tanaman padi mengalami kerugian yang agak besar setelah sebahagian besar tanaman padi musnah akibat diserang penyakit ini. Pada peringkat awal tanaman padi, penyakit ini sukar dikesan oleh oleh pengusaha tanaman padi kerana kebiasaannya, kawasan sawah padi sering diserang penyakit karah ini di peringkat akhir tanaman iaitu ketika tanaman padi hampir masak pada usia 80 ke 85 hari.18 Pengusaha tanaman padi perlulah sentiasa memantau kawasan tanaman padi supaya dapat mengesan penyakit padi di peringkat awal agar masalah tersebut dapat dikawal sebelum merebak ke seluruh tanaman padi. Oleh itu, pengusaha tanaman padi haruslah menggunakan produk yang lebih berkualiti bagi menangani masalah padi diserang penyakit.
6.3       Serangan Serangga Perosak
            Pengusaha tanaman padi juga terpaksa berhadapan dengan masalah serangga perosak tanaman padi seperti bena perang, ulat lipat daun, ulat ratus, dan kupu-kupu. Pada peringkat awal tanaman padi, kira-kira 40 hari pertama, serangga perosak tersebut akan menyerang tanaman padi dengan memakan daun, memotong daun, dan melipat daun sebelum menjadi kepompong. Keadaan ini akan menghalang pengusaha-pengusaha tanaman padi untuk mendapatkan hasil tanaman yang lebih baik dan pendapatan yang lumayan melalui kegiatan penanaman padi kerana serangga perosak menyebabkan pengusaha tanaman padi menghadapi kerugian antara 20 hingga 30 peratus.19 Lebih menyedihkan lagi, apabila serangga perosak merosakkan keseluruhan hasil tanaman padi yang diusahakan oleh mereka.
6.4       Masalah Tanah Jerlus
            Masalah tanah jerlus juga merupakan satu masalah yang perlu dihadapi oleh pengusaha tanaman padi. Isu ini akan menjejaskan pendapatan bulanan pengusaha tanaman padi serta kehidupan mereka dan keluarga masing-masing. Taburan hujan yang tinggi bukanlah satu faktor utama yang menyebabkan terjadinya tanah jerlus, tetapi terdapat punca lain yang menyebabkan terjadinya tanah jerlu iaitu penggunaan racun dan baja kimia yang digunakan secara berlebihan oleh pengusaha tanaman padi. Tanah jerlus juga berpunca daripada amalan tabur terus, penggunaan jentera yang berat serta sistem pengairan yang tidak efektif. Hal ini kerana penggunaan racun secara berlebihan boleh menjejaskan kesuburan tanah sawah padi, manakala kaedah tabur terus yang dilakukan pesawah akan sentiasa berair dan tidak kering. Penggunaan jentera berat turut menyumbang kepada masalah tanah jerlus di kawsan tanaman padi.20 Oleh itu,pengusaha tanaman padi haruslah mengurangkan kadar penggunaan racun, menggunakan kaedah selain daripada kaedah tabur terus, dan mengurangkan penggunaan jentera yang agak berat agar masalah tanah jerlus dapat dielakkan.
6.5       Masalah Tikus Sawah
             Pengusaha tanaman padi juga terpaksa berhadapan dengan masalah tikus sawah yang mengganggu tanaman padi mereka. Tikus sawah merupakan haiwan perosak yang sering menyerang tanaman padi. Kebiasaannya, serangan tikus adalah lebih daripada 17 peratus daripada jumlah keluasan tanaman padi pada setiap tahun. Perkara ini adalah berpunca daripada sikap pesawah yang lambat bertindak dalam mengendalikan serangan tius di sawah mereka. Sekiranya pesawah kurang melakukan pemantauan di kawasan tanaman padi mereka, kadar serangan tikus sawah akan meningkat dengan lebih cepat sehingga boleh merosakkan tanaman padi mereka dengan lebih teruk. Oleh itu, pendapatan petani akan terjejas disebabkan hasil padi mereka berkurang. Tikus merupakan haiwan yang agak cerdik dan pengusaha tanaman padi tidak berani menghalau tikus tanpa menggunakan kaedah menghalau tikus yang betul. Terdapat beberapa insiden di mana jika mereka memarahi tikus, tanaman padi mereka akan diserang denga lebih teruk lagi oleh sekumpulan tikus  yang menyebabkan pengusaha tanaman padi lebih berhati-hati dalam usaha menghalau tikus daripada menyerang tanaman padi mereka.21 Oleh itu, masalah tikus sawah ini dapat dikawal dengan memasang sarang burung pungguk. Burung pungguk akan menghuni sarang tersebut dan memakan tikus-tikus yang menyerang tanaman padi milik pesawah. Kebiasaannya, burung pungguk akan memakan tikus ketika waktu malam sahaja, melalui cara ini populasi tikus akan berkurang sekaligus dapat meningkatkan hasil tanaman padi.
7.0       Peranan Agensi MADA
            Lembaga Kemajuan Pertanian Muda atau dikenali sebagai MADA ditubuhkan pada 30 Jun 1970 di bawah satu  Dekri Darurat dengan nama asalnya ialah Pihak Berkuasa Kemajuan Pertanian Muda dan kini telah ditukarkan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, 1972. Di bawah akta tersebut, MADA bertanggungjawab memaju, menggalak, membantu dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan social kawasan muda. MADA juga bertanggungjawab merancang dan mengusahakan apa-apa kemajuan dalam pertanian seperti yang diperuntukkan kepada MADA oleh Pihak Berkuasa Negeri Kedah. Matlamat MADA adalah untuk memajukan kesejahteraan hidup sebilangan besar penduduk desa.22
7.1       MADA Tetapkan Harga Minimum Padi
            Mada merupakan satu agensi yang banyak membantu pengusaha tanaman padi. MADA telah menetapkan harga  minimum padi iaitu sebanyak RM1000 bagi setiap satu tan padi. Penetapan harga minimum padi tersebut dibuat selepas mengambil kira harga padi di Negara serantau termasuk Thailand, Vietnam dan Myanmar. Tujuan penetapan harga ini dibuat adalah untuk menyeragamkan harga padi di seluruh negeri yang terdapat di dalam Malaysia agar tidak berlaku penyelewengan harga penjualan padi.23  Kilang-kilang swasta yang membeli padi daripada pesawah diwajibkan mengikut harga yang telah ditetapkan, sekiranya mereka tidak mengikut harga yang ditetapkan, Lesen pembelian padi akan ditarik semula oleh kerajaan. Kaedah orang tengah juga perlulah dihapuskan dan pengusaha tanaman padi hendaklah tidak terlalu mengharapkan bantuan orang tengah dalam aktiviti penjualan padi. Pengusaha tanaman padi akan kerugian dan memperolehi keuntungan yang kecil sekiranya bergantung dengan orang tengah.24
7.2       MADA Selesaikan Masalah Sistem Pengairan
            Pengusaha tanaman padi sering berhadapan dengan masalah sistem saliran tidak sempurna di kawasan pertanian mereka. Sistem saliran yang tidak sempurna menyebabkan sebahagian besar sawah padi tidak dapat diusahakan. Hasil tanaman padi yang diusahakan oleh petani terjejas dengan teruk akibat sistem saliran dan pengairan. Oleh itu, MADA mengambil langkah yang efektif untuk membaik pulih sistem saliran dengan membersihkan semak samun yang memenuhi kawasan parit yang menjadi punca air tidak dapat keluar dan masuk ke sawah dengan sempurna. Seterusnya langkah membina lebih banyak  parit, empangan dan terusan akan digiatkan bagi memastikan kawasan tanaman padi tidak menghadapi masalah sistem saliran yang tidak sempurna.25
8.0       Kesimpulan
            Esei ini telah membincangkan mengenai sejarah perkembangan teknologi di Kampung Chegar Mukim Jeram, 06000 Jitra, Kedah. Tanaman padi merupakan tanaman utama dalam bidang pertanian kerana beras merupakan makanan ruji bagi seluruh penduduk yang tinggal di Negara ini. Esei ini menjelaskan tentang konsep teknologi dan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian oleh pengusaha tanaman padi. Terdapat pelbagai teknologi yang tercipta seperti jentera dan penggunaan racun serangga perosak bagi menjamin bekalan utama di Negara ini agar terus mendatangkan hasil yang berkualiti.  Latar belakang Kampung Chegar turut dijelaskan di dalam penulisan ini bagi menjelaskan tentang suasana persekitaran di kampung ini. Seterusnya kemudahan teknologi yang tercipta pada hari ini sememangnya membantu pengusaha tanaman padi dapat meningkatkan kualiti hasil pertanian dan meningkatkan hasil pendapatan mereka. Peranan MADA sebagai agensi yang banyak membantu golongan petani turut dijelaskan dalam esei ini. Oleh itu, generasi pada hari ini perlulah berusaha mencipta pelbagai jenis teknologi untuk digunakan dalam pertanian agar Negara kita akan maju dari segi kemudahan teknologi dan dalam bidang pertanian.

Nota Hujung

1 Orang sumber, Arshad bin Mohd Rejab, 390618025119, Kampung Chegar Mukim Jeram, Tunjang, 06000 Jitra, Kedah.

2 Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, “Ekonomi’, dalam Sejarah Kedah Dua Millenia (Universiti Utara Malaysia : UUM Press, 2016), 191

3 Alfian Hidayatulloh, “Pengertian Teknologi, Definisi Teknologi, dan Apa itu Teknologi?”, https://www.bersosial.com/threads/pengertian-teknologi-definisi-teknologi-dan-apa-itu-teknologi.36813/ (31 Mac 2018)

4 “memproses padi” http://paddykelantan.blogspot.com/2012/04/memproses-padi.html (21 Februari 2018)

5 Dato Mohd Anim Hosnan, “teknologi kerbau ke trekter”, http://animhosnan.blogspot.com/2016/03/teknologi-kerbau-ke-trekter.html, (18 Februari 2018)

6 ibid

7 Muhammad Naim Fadzli, Mohamad Najib, Shahida Hashim, Elixson Sulaiman dan Asfaliza Ramli, “Pengurusan kesuburan tanah dan nutrien untuk
tanaman padi di Malaysia”,    http://ebuletin.mardi.gov.my/buletin/08/Pengurusan%20kesuburan%20tanah.pdf,  ( 20 Februari 2018)

8 Carlz Jafran, “jenis baja organik dan kegunaannya”, http://tanomkinotuan.blogspot.com/2015/05/jenis-baja-organik-dan-penggunaannya.html, (19 Februari 2018)

9 ppkh2mada, “racun serangga pilihan petani untuk bena perang”, https://ppkh2kepalabatas.wordpress.com/2014/08/20/racub-serangga-pilihan-petani-untuk-bena-perang/, (20 Februari 2018)

10 “tanam guna jentera tingkatkan hasil padi”, Utusan Malaysia, 20 Mei 2015,  http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/negeri-sembilan/tanam-guna-jentera-tingkatkan-hasil-padi-1.93653, (21 Februari 2018)

11 Rasid Reynox,  Baja Organik Untuk Pertanian Di Malaysia”, http://reynoxasia.blogspot.my/2012/12/baja-organik-untuk-tanaman-padi.html?m=1, (22 Februari 2018)

12 Dato Mohd Anim Hosan, “racun perosak”, http://animhosnan.blogspot.com/2012/06/racun-perosak-pesticide.html,(19 Februari 2018)

13 “jentera tanam padi mudahkan pesawah”, Utusan Malaysia, 6 Mac 2015, http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/jentera-tanam-padi-mudahkan-pesawah-1.66252, (20 Februari 2018)

14Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI), “Teknologi padihibrid”, https://www.google.com/amp/s/blogmardi.wordpress.com/2011/12/16/439/amp/, (20 Februari 2018)

15 ibid

16 “kesan-kesan banjir”, http://airkumalaysia.blogspot.my/2011/06/kesan-kesan-banjir.html?m=1, (19 Februari 2018)

17 Orang sumber, Encik Arshad b. Mohd Rejab, 390618025119, Kampung Chegar Mukim Jeram, 06000 Jitra, Kedah

18 Ain  Safre  Bidin, “ Padi diserang penyakit karah”,  Utusan Malaysia, 10 Januari 2012,  http://ww1.utusan.com.my/utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm.

 19 “kawalan perosak tanaman” , kosmo, http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0713&pub=kosmo&sec=Varia&pg=va_03.htm, (20 Februari 2018)


20 “ cap  bimbang tanah sawah jerlus jejas kehidupan petani kerian, http://www.pengguna.org.my/index.php/pembangunan/pertanian-semulajadi/951-cap-bimbang-tanah-sawah-jerlus-jejas-kehidupan-petani-kerian, (20 Februari 2015)

21 Dato Mohd Amin Hosnan, “tikus sawah-10 cara kawalan(part 3)”, http://animhosnan.blogspot.my/2013/03/tikus-sawah-10-cara-kawalan-part-3, (21 Februari 2018)

22  “Lembaga Kemajuan Pertanian Muda”    http://www.myagrosis.gov.my/index.php/awam/agensi-moa/lembaga-kemajuan-pertanian-muda.html, (20 Februari 2018)

23 Azmi Md Deros, “harga minimum padi ditetap RM 1000 satu tan”, Berita Harian (Alor Star) 6 Januari 2009.

24 “info padi”  https://www.scribd.com/doc/265155379/info-padi, (20 Februari 2018)


























Bibliografi
David Catling. Rice in deep water. London and Basingstoke :The Mac Millan, 1992.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri. Sejarah Kedah Dua Millenia.Kedah : Universiti Utara Malaysia,2016. 
Che Wan Badrul Alias. “mardi perkenal benih padi baru tahan lasak”. Berita Harian[Kuala Lumpur], 19 Januari 2009.
Rokiah Abdullah. “baja asli vermi  kompos”. Utusan Malaysia,  25 Februari 2009
Miss Intan Cia. “masalah dan cabaran yang dihadapi dalalam sektor penanaman padi” https://prezi.com, (20 Februari 2018).

2 comments: