Pengenalan
Kedah
Darul Aman merupakan sebuah negeri yang dikenali sebagai Negeri Jelapang Padi
kerana negeri ini kaya dengan tanaman padi. Penanaman padi dijadikan aktiviti
utama bagi sebahagian penduduk yang tinggal di Kedah. Kampung Chegar Mukim
Jeram, Tunjang, 06000 Jitra, Kedah merupakan
sebuah kampung yang terletak di
Bandar Jitra Kedah. Penggunaan teknologi di kampung ini adalah sangat meluas
khususnya dalam sektor penanaman padi.
Bagi mendalami sejarah perkembangan teknologi
dalam penanaman padi di kampung ini, maka tumpuan perbincangan esei menjurus
kepada konsep ‘teknologi’ dan penggunaan sains dan teknologi dalam penanaman
padi di Kampung Chegar Mukim Jeram, Tunjang
06000 Jitra, Kedah dari tahun 2000 hingga 2015 serta kesan penggunaan
teknologi kepada penduduk di Kampung Chegar Mukim Jeram, Tunjang, 06000 Jitra,
Kedah. Esei ini juga menerangkan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pengusaha
tanaman padi dan peranan MADA dalam penanaman padi.
Sebelum
menjelaskan konsep ‘teknologi’ dan
penggunaan teknologi dalam penanaman padi serta kesan penggunaan teknologi
kepada penduduk di kampung ini, akan disentuh terlebih dahulu tentang latar
belakang dan keistimewaan Kampung Chegar Mukim Jeram, Tunjang, 06000 Jitra,
Kedah. Supaya perbincangan esei ini lebih terarah kepada permasalahan pokok,
maka perbincangan tentang penggunaan teknologi ini hanya ditumpukan dalam
sektor penanaman padi di kampung ini. Bagi menjelaskan perbincangan tersebut,
kajian ini meneliti pelbagai sumber primer dan sekunder bagi memperoleh maklumat
yang berkaitan.
2.0 Latar
Belakang Kampung Chegar Mukim Jeram, Tunjang, 06000
Jitra, Kedah
Kampung
Chegar merupakan sebuah kampung yang terletak di pekan Jitra Kedah Darul Aman.
Pemandangan di kampung ini adalah sangat unik kerana kampung ini dikelilingi
dan dihiasi dengan kehijauan sawah padi. Kehijauan sawah padi yang terbentang
luas ini adalah hasil daripada titik peluh pengusaha tanaman padi yang tinggal
di kampung ini. Kualiti udara di kampung ini juga sangat bersih dan menjadikan
udara di sini sangat segar dan nyaman terutamanya ketika waktu pagi.
Suasana
di kampung ini juga sangat menenangkan disebabkan bilangan kenderaan yang
digunakan di kampung ini adalah sangat sedikit berbanding di kawasan bandar.
Hal ini demikian kerana kampung ini terletak agak jauh dari jalan raya yang
dipenuhi dengan gas yang datang dari asap kenderaan di jalan raya yang sesak,
oleh itu pembebasan asap daripada bahan bakar untuk menggerakkan kenderaan
berkurang. Hal demikian menjadikan udara di kampung ini tidak tercemar dengan
partikel dan kotoran yang terkandung di dalam asap yang dibebaskan oleh
kenderaan.
Majoriti
penduduk di kampung ini menjalankan aktiviti pertanian sebagai
kegiatan utama mereka. Menurut Encik Arshad b. Mat Rejab, iaitu orang sumber
saya,
“kegiatan
penanaman padi merupakan sumber yang menjana pendapatan bagi pengusaha tanaman
padi yang tinggal di kampung ini. Hasil tanaman padi akan dihantar kepada
peraih untuk diproses menjadi beras dan dipasarkan ke pasaran tempatan.
Kebiasaannya harga padi yang dijual kepada peraih adalah sebanyak RM 120 bagi
100 kilogram (kg) padi. Oleh itu, pengusaha tanaman padi akan memperoleh
pendapatan melalui penjualan padi. Pengusaha tanaman padi yang tinggal di
Kampung Chegar akan menjual padi mereka kepada
kilang yang berdekatan dengan kampung tersebut seperti kilang Tong Seng
Sendirian Berhad yang terletak di 207, Jalan Bukit, Pekan Tunjang, 06000 Jitra
Kedah”1
Penggunaan
teknologi di kampung ini juga sangat meluas jika dibandingkan dengan zaman sebelum
terciptanya teknologi. Pengusaha tanaman padi menggunakan peralatan tradisonal
seperti alat kuku kambing, tenggala dan penyisir. Kerbau merupakan salah satu
haiwan yang digunakan oleh petani dalam tanaman padi. Kerbau digunakan untuk
proses membajak sawah dengan bertindak sebagai penarik tenggala.2
3.0 Pengertian Konsep Teknologi
Teknologi
merujuk kepada pengetahuan yang ditujukan untuk mencipta alat, tindakan
pengolahan dan pengekstrakan benda. Teknologi digunakan untuk menyelesaikan pelbagai
masalah dalam kehidupan seharian dan digunakan untuk memperluas kemampuan kita.
Teknologi juga merupakan aplikasi dari sains untuk mengatasi masalah yang tidak
dapat diselesaikan menggunakan tenaga manusia. Penggunaan teknologi banyak
diterapkan dalam pelbagai sektor terutamanya dalam sektor pertanian untuk
membantu pengusaha yang terlibat dalam bidang pertanian dalam menghasilkan
tanaman dengan lebih cepat dan berkualiti. Teknologi terus dimajukan kerana
keperluan dan tuntutan oleh pengguna untuk menggunakan teknologi terus meningkat.3
4.0 Penggunaan
Teknologi dalam Penanaman Padi di Kampung
Chegar, Kedah
Teknologi
merupakan salah satu bidang yang banyak membantu memajukan Negara terutamanya
dalam sektor pertanian penanaman padi. Kampung Chegar merupakan salah satu
kampung yang terdapat di Kedah yang banyak mengaplikasikan penggunaan teknologi
dalam penanaman padi. Terdapat pelbagai jenis teknologi yang digunakan oleh
pengusaha tanaman padi di kampung ini. Antaranya ialah penggunaan jentera
penuai, jentera pembajak dan jentera penabur benih.
4.1 Penggunaan Jentera
Terdapat pelbagai jenis teknologi yang
digunakan dalam sektor penanaman padi, antaranya ialah jentera penuai, jentera
pembajak, jentera meracun dan jentera menabur benih. Jentera-jentera ini
digunakan sepenuhnya dalam proses penghasilan padi yang berkualiti. Padi dituai menggunakan jentera jenis sederhana
iaitu 30 kuasa kuda atau jenis besar iaitu 100 kuasa kuda. Sebelum proses menuai
dilakukan, sawah padi akan dikeringkan terlebih dahulu dengan mengalirkan air
takungan ke terusan. Hal Ini akan memudahkan lagi proses penuaian yang akan dijalankan.4 Selain itu, jentera pembajak merupakan
teknologi yang menggantikan penggunaan kerbau dalam proses pembajakan.
Perubahan
ini menunjukkan pengusaha tanaman padi pada hari ini sudah tidak menggunakan
khidmat kerbau sebagai alat bantuan dan alatan-alatan tradisonal yang lain
dalam aktiviti membajak sawah pertanian.5 Di samping itu, jentera penabur benih turut
digunakan dalam penanaman padi. jentera ini digunakan untuk menabur benih padi
dengan teratur dan tidak berkelompok sekaligus menjimatkan masa dan tenaga
buruh. Biji benih padi hanya perlu diletakkan di dalam tangki benih di bahagian
belakang jentera dan akan dikendalikan oleh penyelaras biji benih di tangki
tersebut untuk mengelakkannya daripada tersumbat.6
4.2 Penggunaan Baja untuk
Tanaman Padi
Penggunaan baja adalah penting bagi memastikan tanaman padi
tidak menghadapi sebarang masalah yang boleh menjejaskan kualiti padi. Tanaman
padi memerlukan 17 unsur nutrien untuk tumbesaran dan pengeluaran hasil yang
baik. Sebanyak tiga unsur nutrien yang terdiri daripada unsur bukan mineral
iaitu, karbon, hidrogen dan oksigen, 14 unsur lagi ialah unsur mineral.
Nitrogen, fosforus, dan kalium ialah unsur primer yang diperlukan dalam
kuantiti yang banyak untuk tanaman padi, manakala magnesium, kalsium, dan
sulphur merupakan unsur sekunder dan selebihnya adalah unsur mikro. Kekurangan
salah satu daripada unsur primer akan mengganggu proses tumbesaran tanaman.
Sekiranya jumlah yang wujud itu kurang daripada keperluan optimum, maka,
tumbesaran akan tetap berlaku, tetapi kecacatan atau gejala kekurangan nutrien
akan berlaku.7 Baja boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu baja
kimia dan baja organik. Baja
kimia kadangkala dikenali sebagai baja tak organik atau baja buatan,
mengandungi bahan-bahan kimia tak organik atau galian-galian. Baja ini tidak memerlukan masa
yang tertentu untuk terurai kerana baja ini
mengandungi nutrien yang boleh diserap oleh tumbuh-tumbuhan.
Baja organik tidak seperti baja
kimia di mana kesannya cepat bertindak terhadap akar. Baja organik yang ditabur
di batas atau di sekeliling pokok sesuatu tanaman memerlukan beberapa jenis
mikroorganisma untuk mengurainya terlebih dahulu sebelum diserap oleh akar tanaman.
Keadaan tanah seharusnya lembab bagi membolehkan mikroorganisma tersebut
melakukan aktiviti penguraian. Zat nutrisi dibebaskan ketika proses penguraian.
Secara umumnya, sesetengah baja organik diguna pada awal tahun setelah ditabur
pada batas dan secara perlahan-lahan ia membebaskan nutrisi setelah diurai oleh
mikroorganisma yang boleh digunakan pada tahun-tahun akan datang.
Pemecahan atau
penguraian baja organik tidak berlaku serentak di mana secara am pula
memberikan tugas membaik pulih kepada tanah atau batas.8 Baja
organik dihasilkan daripada bahan material yang datang daripada haiwan,
tumbuhan dan mineral semula jadi. Baja organik secara semula jadi mampu
membekalkan nutrien pada kadar rendah, berterusan dan seimbang.
Baja tahi ayam merupakan salah satu baja organik yang berkesan dan
menjimatkan berbanding baja tahi cacing. Pembajaan padi banyak bergantung
kepada beberapa perkara seperti varieti padi, cara menanam padi dan musim
penanaman padi sama ada musim hujan, atau bukan musim hujan. Kebiasaannya, baja
ditabur terus ke dalam sawah dengan jarak antara taburan sekitar tiga meter
radius. Pembajaan juga lazimnya dilakukan tiga kali untuk sistem tabur terus.
4.3 Penggunaan Racun untuk
Tanaman Padi
Penggunaan
racun serangga perosak dalam kegiatan penanaman padi memang tidak dapat
dielakkan lagi oleh para petani. Pengusaha tanaman padi mengatasi masalah
serangga perosak yang menjadi punca kerosakkan hasil tanaman padi mereka dengan menggunakan
racun serangga. Terdapat pelbagai jenis racun serangga yang digunakan oleh
pengusaha tanaman padi mengikut kesesuaian masalah serangan serangga perosak
yang dihadapi oleh mereka.
Antara produk racun yang sering
digunakan dalam aktiviti penanaman padi ialah AKESS 50WG yang mengawal masalah
bena perang, AKARA 75WP untuk mengatasi masalah reput tangkai dan AMOLIN 29.2EC
untuk mengawal masalah hawar seludang. Masalah-masalah serangan serangga
perosak seperti bena perang, ulat lipat daun dan ulat ratus sememangnya menjejaskan kualiti hasil padi sekiranya tidak
di atasi dengan cepat dan cara yang betul. Bagi mengawal serangan ini, semburan
racun haruslah dilakukan apabila serangan mencapai tahap ambang tindakan.9
5.0 Kesan Penggunaan Teknologi Kepada Penduduk di
Kampung
Chegar Mukim Jeram, Tunjang, 06000
Jitra, Kedah
Pada era
globalisasi kini, terdapat pelbagai jenis ciptaan teknologi telah diselidik,
direka dan digunapakai dalam pelbagai sektor pekerjaan terutamanya dalam sektor
penanaman padi. Penciptaan ini sememangnya memberikan pelbagai kesan yang baik
kepada kemajuan Negara khususnya dalam bidang pertanian. Penggunaan teknologi
yang semakin meluas sedikit sebanyak memudah dan mempercepatkan urusan
penanaman padi kepada pengusaha tanaman padi. Padi yang dihasilkan oleh petani
akan lebih berkuantiti dan berkualiti
tinggi dengan adanya kemudahan teknologi tersebut.
5.1 Kesan Penggunaan Jentera
Penggunaan jentera dalam aktiviti
penanaman padi sememangnya mendatangkan pelbagai kesan positif kepada bidang
pertanian padi khususnya kepada pengusaha tanaman padi dan hasil tanaman
mereka. Penggunaan teknologi jentera dalam penanaman padi seperti jentera
pembajak, jentera penuai, jentera meracun dan jentera penabur benih adalah sangat
meluas dalam perusahaan padi di seluruh Negeri Kedah khususnya di Kampung
Chegar Mukim Jeram, 06000 Jitra. Kedah. Terdapat beberapa kesan positif kepada
pengusaha tanaman padi dan hasil tanaman padi dengan adanya kemudahan teknologi
jentera ini. Antaranya ialah, kemudahan teknologi jentera banyak membantu
pengusaha tanaman padi untuk tingkatkan pengeluaran tanaman padi mereka dalam
masa yang sangat singkat. Tanaman padi juga dapat ditanam sebanyak dua atau
tiga kali dalam masa setahun sahaja. Oleh itu, pendapatan bulanan mereka turut
meningkat dengan adanya kemudahan jentera.
Penggunaan jentera dalam proses pembenihan
padi memudahkan pengusaha tanaman padi yang terlibat dalam kegiatan penanaman
padi di samping meningkatkan produktiviti hasil tanaman padi. Selain itu,
penggunaan mesin benih atau dikenali sebagai ‘pointed seeder’ mampu menjimatkan
penggunaan benih kerana benih digunakan secara optimum melalui mesin benih.10
Oleh itu, dengan adanya jentera-jentera seperti ini, pengusaha tanaman padi
dapat menjimatkan tenaga kerja dan masa mereka kerana dengan keluasan 48 hektar
tanah, pembenihan padi dapat dilaksanakan dalam tempoh dua minggu dengan
mnggunakan jentera tersebut.
5.2 Kesan Penggunaan Baja
Penemuan ciptaan baja organik pada suatu
ketika dahulu sangat membantu para pengusaha tanaman padi serta Negara yang
ingin memajukan industri pertanian. Penggunaan baja organick seperti Baja
Reynox dapat mempercepatkan proses semaian padi. Hal ini kerana Baja Reynox
dapat merangsang percambahan benih padi dalam pelbagai jenis keadaan iaitu,
keadaan bendang yang kering, lembap atau basah. Baja Reynox juga membekalkan
oksigen yang terlarut untuk percambahan benih dalam air yang bertakung. Baja
reynox juga membantu menguat dan menyihatkan sistem akar sekaligus mengurangkan
masalah padi rebah.
Oleh itu,
pengusaha tanaman padi dapat mengatasi masalah padi rebah dengan menggunakan
Baja Reynox ini. Baja ini juga dapat mengekalkan takungan air di dalam bendang
tanpa perlu disalir keluar oleh pengusaha tanaman padi. Penggunaan baja organik
ini merupakan satu pilihan yang tepat kepada pengusaha tanaman padi kerana
penggunaan baja tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan kuantiti dan kualiti
hasil padi, malahan baja tersebut juga mampu menjimatkan wang pengusaha tanaman
padi kerana kuantiti baja yang diperlukan adalah sangat sedikit dan sangat
berkesan untuk hasil tanaman padi.11
5.3 Kesan Penggunaan Racun
Serangga
Penggunaan racun serangga dalam kegiatan
penanaman padi adalah penting untuk meningkatkan kualiti hasil tanaman padi
yang dihasilkan. Racun perosak merupakan sejenis bahan kimia yang digunakan
sebagai agen untuk membunuh dan mengawal serangga perosak yang berbahaya kepada
tanaman padi. Penggunaan racun serangga dan penyakit oleh pengusaha tanaman
padi dapat membantu mereka mengatasi dan mengawal masalah yang berkaitan dengan
tanaman padi agar tanaman yang dihasilkan dijamin berkualiti, selamat dimakan
dan bersih.12 Penggunaan
racun serangga dan perosak menjadi pilihan utama kepada pengusaha tanaman padi
dalam mengawal serangga perosak kerana ianya cepat bertindak untuk membunuh,
menghalau, menghentikan proses pembiakan serta mengganggu kehidupan serangga
perosak. Masalah tersebut dapat diatasi melalui tindakan bahan kimia dan agen
biologi seperti virus dan bakteria. Oleh itu, pengggunaan racun serangga
perosak merupakan satu langkah yang bijak kerana mendatangkan hasil tanaman
yang lebih berkuantiti dan berkualiti tinggi serta dapat meningkatkan
pendapatan pengusaha tanaman padi.
5.4 Kaedah Bioteknologi
Kaedah bioteknologi pada masa ini juga digunakan
dalam sektor pertanian seperti tanaman padi. Kaedah ini turut mendatangkan
kesan yang baik kepada pengusaha tanaman padi dan hasil tanaman padi. Sebagai
contoh, baka padi yang dikacukkan melalui kaedah bioteknologi iaitu dengan
mengubah suai genetik tumbuhan yang membolehkan padi ditanam sebanyak dua
hingga tiga kali dalam setahun. Baka padi yang telah dikacukkan ini akan
menghasilkan hasil tuaian yang lebih banyak daripada yang biasa dan hasilnya
sangat berkualiti tinggi.
Padi itu
juga lebih tahan daripada serangan penyakit seperti, hawar seludang, bintik perang, reput daun dan bintik daun.
Selain itu, hasil kacukkan baka juga menjadikan butiran padi lebih panjang dan
besar serta hanya mengambil masa yang singkat untuk matang.13 Hal
ini sememangnya sangat memberi keuntungan kepada pengusaha tanaman padi kerana
mereka tidak perlu menunggu dalam tempoh yang lama untuk menunggu hasil tanaman
mereka matang.
Padi hibrid merupakan benih padi yang yang
dihasilkan melalui kaedah bioteknologi percantuman dan kacukan daripada
beberapa jenis benih terbaik berlainan bagi menghasilkan produk yang
berkualiti. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)
dengan usaha RB Biotech Sdn Bhd telah
Berjaya menghasilkan padi hibrid siraj yang mampu menangani segala masalah yang
berkaitan dengan tanaman padi seperti, serangan makhluk perosak dan penyakit
serta kurang produktif dalam menjana hasil dan hasil-hasil yang kurang
berkualiti. Menurut Pengarah MARDI Selangor, Dr Zainal Abidin Hassan berkata,
“Padi hibrid menggunakan kaedah penanaman yang agak
unik untu mendapatkan benih, iaitu bermula
dengan menanam barisan benih mandul jantan (CMS Line) sebanyak lapan
baris. Kemudian kita perlu menanam dua baris benih tidak mandul jantan, ia akan
diikat dengan tali dan digoyangkan lalu terkena pada benih mandul jantan,
seterusnya padi hibrid dihasilkan dan dikenali sebagai generasi pertama (F1)”14
Penggunaan kaedah hibrid sememangnya mampu
meningkatkan hasil padi sehingga 20 peratus berbanding padi biasa, atau
dikenali dengan istilah inbrid. Padi hibrid hanya memerlukan 30 hingga 45
kilogram biji benih sehektar sawah padi manakala padi biasa memerlukan 120
kilogram hingga 150 kilogram biji benih sehektar. Padi hibrid bukan sahaja
dapat menjimatkan penggunaan biji benih, hasil padi hibrid juga meningkat iaitu
sehingga tujuh tan bagi sehektar. Padi hibrid sememangnya mempunyai keupayaan
untuk mengeluarkan hasil padi melebihi 10 tan sehektar, manakala padi inbrid
hanya mampu menghasilkan 11 tan sehektar. Selain itu, padi hibrid juga mampu
menjimatkan penggunaan baja kerana padi hibrid tidak memerlukan pembajaan
tambahan berbanding padi inbrid yang memerlukan pembajaan seperti baja buah
tambahan dan baja urea tambahan. Menurut Dr Zainal Abidin Hassan, berkata,
“tiada perbezaan ketara antara padi hibrid dan
inbrid. Cuma padi kacukan ini mempunyai ketinggian melebihi padi tradisional
ini.bilangan bilah juga agak banyak kerana ia disemai menggunakan jentera,
ekoran penggunaan biji benih yang sedikit. Tempoh matang padi hibrid adalah
kurang daripada 90 hari dan ia akan mengeluarkan hasil dalam tempoh sama.
Tetapi pada kebiasaannya benih padi inbrid akan ditabur dua minggu lebih awal
daripada padi hibrid.” 15
6.0 Cabaran Dalam Penanaman
Padi di Kampung Chegar Mukim
Jeram, Tunjang, 06000 Jitra, Kedah
Pada
masa ini, isu dan permasalahan dalam sektor penanaman padi tidak dapat
dielakkan. Walaupun dunia dilengkapi dengan kemudahan sains dan teknologi,
namun masalah-masalah yang berkaitan dengan tanaman padi terpaksa dihadapi oleh
pengusaha tanaman padi. Terdapat pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi oleh
petani dalam sektor penanaman padi.
6.1 Masalah banjir.
Banjir merupakan satu musibah yang paling
ditakuti oleh pengusaha tanaman padi. Banjir berlaku disebabkan hujan yang
lebat tanpa henti pada sesuatu ketika terutamanya ketika musim timur laut.
Masalah ini menjadi isu utama disebabkan banjir yang berlaku akan memusnahkan
tanaman yang diusahakan mereka dengan sekelip masa sahaja. Hal ini demikian
kerana, air banjir yang bertakung di kawasan tanaman padi menyebabkan tanaman
ditenggelami air sehingga tanaman tersebut musnah. Kemusnahan tanaman padi
turut memberi kesan kepada sumber pendapatan mereka selama beberapa bulan
sehinggalah mendapat bantuan kewangan daripada pihak kerajaan. Oleh itu, banjir
yang berlaku di kawasan pertanian sememangnya mendatangkan kerugian yang sangat
besar kepada komuniti pertanian dan penternak setempat.16 Menurut Encik
Arshad b. Mohd Rejab,
“pada tahun 2010, Kampung Chegar telah mengalami
masalah banjir besar pada bulan disember tahun tersebut. Keadaan ini terjadi
disebabkan keadaan hujan yang agak lebat sehingga menyebabkan tanaman padi yang
diusahakan oleh mereka selama sebulan lebih musnah dan mendatangkan kerugian
yang agak besar buat para petani di kampung ini.“17
6.2 Padi Diserang Penyakit
Pengusaha tanaman padi turut berhadapan
dengan masalah padi rosak kerana diserang penyakit seperti karah daun dan reput
tangkai. Penyakit karah daun ini menjadikan pengusaha tanaman padi mengalami
kerugian yang agak besar setelah sebahagian besar tanaman padi musnah akibat
diserang penyakit ini. Pada peringkat awal tanaman padi, penyakit ini sukar
dikesan oleh oleh pengusaha tanaman padi kerana kebiasaannya, kawasan sawah
padi sering diserang penyakit karah ini di peringkat akhir tanaman iaitu ketika
tanaman padi hampir masak pada usia 80 ke 85 hari.18 Pengusaha
tanaman padi perlulah sentiasa memantau kawasan tanaman padi supaya dapat
mengesan penyakit padi di peringkat awal agar masalah tersebut dapat dikawal
sebelum merebak ke seluruh tanaman padi. Oleh itu, pengusaha tanaman padi
haruslah menggunakan produk yang lebih berkualiti bagi menangani masalah padi
diserang penyakit.
6.3 Serangan
Serangga Perosak
Pengusaha
tanaman padi juga terpaksa berhadapan dengan masalah serangga perosak tanaman
padi seperti bena perang, ulat lipat daun, ulat ratus, dan kupu-kupu. Pada
peringkat awal tanaman padi, kira-kira 40 hari pertama, serangga perosak
tersebut akan menyerang tanaman padi dengan memakan daun, memotong daun, dan
melipat daun sebelum menjadi kepompong. Keadaan ini akan menghalang
pengusaha-pengusaha tanaman padi untuk mendapatkan hasil tanaman yang lebih
baik dan pendapatan yang lumayan melalui kegiatan penanaman padi kerana
serangga perosak menyebabkan pengusaha tanaman padi menghadapi kerugian antara
20 hingga 30 peratus.19 Lebih menyedihkan lagi, apabila serangga
perosak merosakkan keseluruhan hasil tanaman padi yang diusahakan oleh mereka.
6.4 Masalah
Tanah Jerlus
Masalah
tanah jerlus juga merupakan satu masalah yang perlu dihadapi oleh pengusaha
tanaman padi. Isu ini akan menjejaskan pendapatan bulanan pengusaha tanaman
padi serta kehidupan mereka dan keluarga masing-masing. Taburan hujan yang
tinggi bukanlah satu faktor utama yang menyebabkan terjadinya tanah jerlus,
tetapi terdapat punca lain yang menyebabkan terjadinya tanah jerlu iaitu
penggunaan racun dan baja kimia yang digunakan secara berlebihan oleh pengusaha
tanaman padi. Tanah jerlus juga berpunca daripada amalan tabur terus,
penggunaan jentera yang berat serta sistem pengairan yang tidak efektif. Hal
ini kerana penggunaan racun secara berlebihan boleh menjejaskan kesuburan tanah
sawah padi, manakala kaedah tabur terus yang dilakukan pesawah akan sentiasa
berair dan tidak kering. Penggunaan jentera berat turut menyumbang kepada
masalah tanah jerlus di kawsan tanaman padi.20 Oleh itu,pengusaha
tanaman padi haruslah mengurangkan kadar penggunaan racun, menggunakan kaedah
selain daripada kaedah tabur terus, dan mengurangkan penggunaan jentera yang
agak berat agar masalah tanah jerlus dapat dielakkan.
6.5 Masalah
Tikus Sawah
Pengusaha tanaman padi juga terpaksa
berhadapan dengan masalah tikus sawah yang mengganggu tanaman padi mereka. Tikus
sawah merupakan haiwan perosak yang sering menyerang tanaman padi.
Kebiasaannya, serangan tikus adalah lebih daripada 17 peratus daripada jumlah
keluasan tanaman padi pada setiap tahun. Perkara ini adalah berpunca daripada
sikap pesawah yang lambat bertindak dalam mengendalikan serangan tius di sawah
mereka. Sekiranya pesawah kurang melakukan pemantauan di kawasan tanaman padi
mereka, kadar serangan tikus sawah akan meningkat dengan lebih cepat sehingga
boleh merosakkan tanaman padi mereka dengan lebih teruk. Oleh itu, pendapatan
petani akan terjejas disebabkan hasil padi mereka berkurang. Tikus merupakan
haiwan yang agak cerdik dan pengusaha tanaman padi tidak berani menghalau tikus
tanpa menggunakan kaedah menghalau tikus yang betul. Terdapat beberapa insiden
di mana jika mereka memarahi tikus, tanaman padi mereka akan diserang denga
lebih teruk lagi oleh sekumpulan tikus
yang menyebabkan pengusaha tanaman padi lebih berhati-hati dalam usaha
menghalau tikus daripada menyerang tanaman padi mereka.21 Oleh itu,
masalah tikus sawah ini dapat dikawal dengan memasang sarang burung pungguk.
Burung pungguk akan menghuni sarang tersebut dan memakan tikus-tikus yang
menyerang tanaman padi milik pesawah. Kebiasaannya, burung pungguk akan memakan
tikus ketika waktu malam sahaja, melalui cara ini populasi tikus akan berkurang
sekaligus dapat meningkatkan hasil tanaman padi.
7.0 Peranan Agensi MADA
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda atau
dikenali sebagai MADA ditubuhkan pada 30 Jun 1970 di bawah satu Dekri Darurat dengan nama asalnya ialah Pihak
Berkuasa Kemajuan Pertanian Muda dan kini telah ditukarkan kepada Lembaga
Kemajuan Pertanian Muda, 1972. Di bawah akta tersebut, MADA bertanggungjawab
memaju, menggalak, membantu dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan social
kawasan muda. MADA juga bertanggungjawab merancang dan mengusahakan apa-apa
kemajuan dalam pertanian seperti yang diperuntukkan kepada MADA oleh Pihak
Berkuasa Negeri Kedah. Matlamat MADA adalah untuk memajukan kesejahteraan hidup
sebilangan besar penduduk desa.22
7.1 MADA Tetapkan Harga Minimum
Padi
Mada merupakan satu agensi yang banyak
membantu pengusaha tanaman padi. MADA telah menetapkan harga minimum padi iaitu sebanyak RM1000 bagi
setiap satu tan padi. Penetapan harga minimum padi tersebut dibuat selepas
mengambil kira harga padi di Negara serantau termasuk Thailand, Vietnam dan
Myanmar. Tujuan penetapan harga ini dibuat adalah untuk menyeragamkan harga
padi di seluruh negeri yang terdapat di dalam Malaysia agar tidak berlaku
penyelewengan harga penjualan padi.23 Kilang-kilang swasta yang membeli padi
daripada pesawah diwajibkan mengikut harga yang telah ditetapkan, sekiranya
mereka tidak mengikut harga yang ditetapkan, Lesen pembelian padi akan ditarik
semula oleh kerajaan. Kaedah orang tengah juga perlulah dihapuskan dan
pengusaha tanaman padi hendaklah tidak terlalu mengharapkan bantuan orang
tengah dalam aktiviti penjualan padi. Pengusaha tanaman padi akan kerugian dan
memperolehi keuntungan yang kecil sekiranya bergantung dengan orang tengah.24
7.2 MADA Selesaikan Masalah
Sistem Pengairan
Pengusaha tanaman padi sering berhadapan
dengan masalah sistem saliran tidak sempurna di kawasan pertanian mereka.
Sistem saliran yang tidak sempurna menyebabkan sebahagian besar sawah padi
tidak dapat diusahakan. Hasil tanaman padi yang diusahakan oleh petani terjejas
dengan teruk akibat sistem saliran dan pengairan. Oleh itu, MADA mengambil
langkah yang efektif untuk membaik pulih sistem saliran dengan membersihkan semak
samun yang memenuhi kawasan parit yang menjadi punca air tidak dapat keluar dan
masuk ke sawah dengan sempurna. Seterusnya langkah membina lebih banyak parit, empangan dan terusan akan digiatkan bagi
memastikan kawasan tanaman padi tidak menghadapi masalah sistem saliran yang
tidak sempurna.25
8.0 Kesimpulan
Esei ini telah membincangkan mengenai
sejarah perkembangan teknologi di Kampung Chegar Mukim Jeram, 06000 Jitra,
Kedah. Tanaman padi merupakan tanaman utama dalam bidang pertanian kerana beras
merupakan makanan ruji bagi seluruh penduduk yang tinggal di Negara ini. Esei
ini menjelaskan tentang konsep teknologi dan penggunaan teknologi dalam bidang
pertanian oleh pengusaha tanaman padi. Terdapat pelbagai teknologi yang
tercipta seperti jentera dan penggunaan racun serangga perosak bagi menjamin
bekalan utama di Negara ini agar terus mendatangkan hasil yang berkualiti. Latar belakang Kampung Chegar turut
dijelaskan di dalam penulisan ini bagi menjelaskan tentang suasana persekitaran
di kampung ini. Seterusnya kemudahan teknologi yang tercipta pada hari ini
sememangnya membantu pengusaha tanaman padi dapat meningkatkan kualiti hasil
pertanian dan meningkatkan hasil pendapatan mereka. Peranan MADA sebagai agensi
yang banyak membantu golongan petani turut dijelaskan dalam esei ini. Oleh itu,
generasi pada hari ini perlulah berusaha mencipta pelbagai jenis teknologi
untuk digunakan dalam pertanian agar Negara kita akan maju dari segi kemudahan
teknologi dan dalam bidang pertanian.
Nota
Hujung
1 Orang sumber, Arshad bin Mohd
Rejab, 390618025119, Kampung Chegar Mukim Jeram, Tunjang, 06000 Jitra, Kedah.
2 Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad
Sabri, “Ekonomi’, dalam Sejarah Kedah Dua
Millenia (Universiti Utara Malaysia : UUM Press, 2016), 191
6 ibid
7 Muhammad Naim Fadzli, Mohamad
Najib, Shahida Hashim, Elixson Sulaiman dan Asfaliza Ramli, “Pengurusan
kesuburan tanah dan nutrien untuk
15 ibid
17 Orang sumber, Encik Arshad b.
Mohd Rejab, 390618025119, Kampung Chegar Mukim Jeram, 06000 Jitra, Kedah
23 Azmi Md Deros, “harga minimum
padi ditetap RM 1000 satu tan”, Berita Harian (Alor Star) 6 Januari 2009.
Bibliografi
David
Catling. Rice in deep water. London
and Basingstoke :The Mac Millan, 1992.
Ahmad
Zaharuddin Sani Ahmad Sabri. Sejarah
Kedah Dua Millenia.Kedah : Universiti Utara Malaysia,2016.
Che
Wan Badrul Alias. “mardi perkenal benih padi baru tahan lasak”. Berita
Harian[Kuala Lumpur], 19 Januari 2009.
Rokiah
Abdullah. “baja asli vermi kompos”.
Utusan Malaysia, 25 Februari 2009
Miss
Intan Cia. “masalah dan cabaran yang dihadapi dalalam sektor penanaman padi” https://prezi.com,
(20 Februari 2018).